Jom Raudhah!

Jom Raudhah!
Jom Raudhah!

Thursday, January 31, 2019

Majlis Tilawah & Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 2019

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan pada 28 Januari hingga 1 Februari 2019 yang lalu di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban. Pihak penganjur telah menjemput pasukan kompang SKLH untuk mengadakan persembahan Kompang Selawat pada hari ketiga (31 Januari 2019)ketika berlangsungnya acara tersebut. Pihak sekolah sangat berbesar hati menerima jemputan itu dan berharap semua hadirin telah terhibur dengan persembahan daripada anak-anak daripada pasukan kompang SKLH tersebut.










Saturday, January 26, 2019

Gotong royong Perdana SKLH

Islam agama yang sangat menitikberatkan kecantikan dan kebersihan. Oleh yang demikian, amalan menjaga kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Pada 26 Januari 2019 bersamaan hari Sabtu, semua warga SKLH berganding bahu bersama ibu bapa dan penjaga menjalankan aktiviti Gotong-Royong Perdana peringkat sekolah. Semua yang terlibat telah membanting tulang membersihkan serta mengindahkan kawasan sekolah serta sekitarnya demi keselesaan anak-anak untuk belajar di sini. Guru-guru dan murid juga telah membersihkan kelas, kantin, Musolla Ar-Raudah dan kawasan sekeliling yang berakhir kira-kira pada pukul 1 tengahari pada hari tersebut. Semoga program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang demi memastikan SKLH sentiasa bersih dan ceria.














Friday, January 11, 2019

Sambutan Maulidur Rasul 1440H

Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah telah diadakan pada 11 Januari 2019 yang lalu. Semua warga SKLH menyambut dan meraikan hari yang mulia ini dengan harapan agar dapat menanamkan semangat kecintaan yang tinggi terhadap junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Rafai bin Ismail dari SK Kg Batu Rembau kepada semua murid tahap 2 bermula jam 8.30 pagi sehingga 11.00 tengahari. Banyak pengisian ilmu telah dikongsi dalam sesi ceramah tersebut berkisar tentang sirah kehidupan Nabi yang kita sayangi  serta di selangi juga dengan kuiz kepada murid-murid. Murid-murid tahap satu pula telah menjalankan aktiviti mewarna di dalam kelas masing-masing. Semoga pengisian yang telah diberikan akan menjadikan warga SKLH lebih kenal dan cinta kepada Nabi kita Muhammad S.A.W.











Monday, January 7, 2019

Kelas Agama Petang SK Lavender Heights

Ilmu Fardhu Ain pembekal amal anak-anak SKLH

Kelas Agama Petang SK Lavender Heights bagi sesi 2019 telah bermula pada 7 Januari 2019 yang lalu. Kelas bermula pada pukul 2.30 hingga 5.40 petang telah lama dijalankan di sekolah ini bagi membekalkan ilmu-ilmu Fardhu Ain kepada murid-murid di sini. Murid-murid akan belajar mata pelajaran Sirah, Akidah, Ibadah, Akhlak, Jawi, Bahasa Arab dan Tilawah Al-Quran serta menjalankan amali solat di Musolla Ar-Raudhah pada waktu Asar setiap hari. Semoga ilmu-ilmu yang diajar oleh para asatizah akan menjadi bekalan amal kepada mereka semua untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa serta menjadikan mereka anak-anak yang soleh dan solehah.




Friday, January 4, 2019

Ahlan wa sahlan 2019..

Dengan lafaz kalimah yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, warga SK Lavender memulakan sesi persekolahan 2019 dengan memohon keberkatan dan rahmat Allah dengan mengadakan bacaan Yasin di Dataran Pendeta Za'ba yang telah dipimpin oleh Ustaz Azman bin Osman. Semoga tahun 2019 akan membawa sinar kejayaan dan kecemerlangan kepada seluruh warga terutama murid-murid SK Lavender Heights dalam bidang akademik dan ko-kurikulum di samping menjadi murid yang berakhlak mulia.